Seluruh Alam Maya Semesta Raya ini adalah Alam Kabir dan berada dalam Daerah Imkan. Daerah Imkan atau Daerah Mumkinat adalah daerah keluasan yang mungkin bagi Alam Kabir dan ianya terbahagi kepada dua bahagian, atas dan bawah yang meliputi Alam Amar dan Alam Khalaq. Separuh bahagian bawahnya adalah bermula dari ‘Arash sehinggalah ke bawah tanah dan separuh bahagian atasnya adalah bermula dari atas ‘Arash sehinggalah seatas-atasnya. Alam Amar adalah pada separuh bahagian atas Daerah Imkan manakala Alam Khalaq pula adalah pada separuh bahagian bawah Daerah Imkan (Rajah 1).
Pada tubuh setiap insan terdapat hubung kaitan dengan Daerah Imkan yang terdiri dari Alam Amar dan Alam Khalaq iaitu pada tubuh Ruhani dan Jasmani. Alam Semesta jika dilihat menerusi pandangan batin mata hati, tampil dalam bentuk suatu bulatan. Bulatan ini dinamakan sebagai Daerah Imkan atau Daerah Mumkinat atau daerah yang mungkin dan daerah ini dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Alam Amar dan Alam Khalaq. Di tengah-tengah bulatan itu terdapat satu garis melintang yang membahagikan bulatan itu kepada satu bahagian berada di atas dan satu bahagian lagi berada di bawah.
Garisan di tengah itu merupakan ‘Arash Mu’alla yang merupakan pembahagi kepada Alam Amar dan Alam Khalaq. Menurut Hadhrat Mujaddid Alf Tsani Syeikh Ahmad Faruqi Sirhindi Rahmatullah ‘alaih manusia adalah alam kecil.
Apabila Allah Subhanahu Wa Ta’ala menjadikan manusia, Dia menggunakan kuasaNya untuk menempatkan latifah-latifah Alam Amar ini ke dalam dada manusia dan menjadikannya asyik dengan takluk tubuh badan. Ini adalah kerana Allah Subhanahu Wa Ta’ala ingin menjadikan manusia itu sempurna dan dilengkapkanNya dengan Alam Amar dan Alam Khalaq.
Dengan ini manusia itu disebutkan sebagaiAlam Saghir yakni suatu alam kecil dari Alam Kabir.
0 comments:
Post a Comment