Thursday, October 27, 2011

Alam Kabir Dan Alam Saghir

    MANUSIA merupakan biasan dalam bentuk kecil bagi kejadian Alam Maya Semesta Raya [Kosmos] ini atau disebutkan sebagai Alam Kabir [Makrokosmos] yang bermakna alam besar. Sebagai biasan, manusia adalah Alam Saghir [Mikrokosmos] yang bermakna alam kecil. Segala apa yang wujud di alam yang kecil juga adalah wujud di alam yang besar. Namun demikian, setiap apa yang ada di alam besar tidak kesemuanya berada di alam kecil. Menerusi alam kecil, dapat dilihat apa yang ada di alam besar sana. 

    Walaubagaimanapun, tidak semua manusia yang dapat melihat alam besar menerusi alam kecil dirinya. Di dalam diri manusia itu mengandungi suatu daya tenaga yang jika ianya dibuka maka akan membolehkannya melihat Alam Maya Semesta Raya kerana dia merupakan Alam Saghir dan menjadi cermin kepada Alam Kabir di dalam dirinya. Pada dasarnya, Alam Kabir ini adalah terlalu besar dan luas sehingga tiada siapa pun yang dapat menyatakan betapa besarkah kadar keluasannya. Para Masyaikh mentafsirkannya sebagai Daerah Imkan yang bererti suatu daerah keluasan yang mungkin baginya. Daerah Imkan Alam Kabir ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu Alam Amar dan Alam Khalaq. Perbandingan antara kedua-dua Alam Kabir dan Alam Saghir dapat dilihat dalam Rajah 2, yang mana di Alam Kabir, ‘Arash Mu’alla menjadi sebagai pengantara manakala di Alam Saghir pula, Hati menjadi sebagai pengantara. Kerana itulah ada mafhum sebuah Hadits yang menyatakan bahawa, 

                       “Allah Ta’ala itu berada dalam hati orang-orang beriman.” 

    Menurut Para Masyaikh Naqshbandiyah, hati manusia adalah merupakan biasan kepada
Hati Ruhaniah Hakikat Muhammadiyah. Hati Ruhaniah ini mempamerkan Lautan Kekuasaan atau disebutkan sebagai Bahrul Qudrah, yang merupakan tempat asal usul segala ciptaan. Lautan Kekuasaan Bahrul Qudrah ini berada di Alam Kabir dalam Alam Maya Semesta Raya. Daerah Imkan. Barangsiapa yang mampu mencapai pengetahuan tentang hati akan berkemampuan untuk memahami kebenaran Hakikat Kenabian Nur Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Hakikat Nur Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam berada di dalam Lautan Kekuasaan Bahrul Qudrah ini. Hati yang banyak berzikir akan menghasilkan limpahan Faidhz dan ianya akan turut mengalir di dalam saluran darah di dalam tubuh badan dan mengisikan tubuh badan dengan limpahan Faidhz tersebut. 

    Menurut Hadhrat Mujaddid Alf Tsani Syeikh Ahmad Faruqi Sarhindi Rahmatullah ‘alaih, apabila kelima-lima lataif Alam Amar telah disucikan dengan sempurna, lataif Alam Khalaq juga dengan sendirinya akan disucikan, kemudian dia akan memahami hakikat Daerah Imkan. Untuk mencapai maqam ini, seseorang itu perlulah mancapai Fana Fi Syeikh. Ini akan mengangkat hijabnya terhadap kefahaman tentang Daerah Imkan.

    Kebanyakan Salik berhenti pada tahap ini dengan memikirkan bahawa mereka telah pun sampai ke destinasi tujuan mereka sedangkan mereka sepatutnya terus bergerak melewati
bulatan Daerah Imkan dengan meneroka Alam Amar dan seterusnya menempuh Wilayat Sughra, Wilayat Kubra dan Wilayat ‘Ulya. Seseorang Murid tidak akan sama sekali dapat menempuh Wilayat- Wilayat ini tanpa bimbingaan Syeikh dan Para Masyaikh. Untuk ini seseorang Salik itu perlu mencapai Fana Fi Rasul. Kemudian barulah dirinya akan dapat merasakan pencapaian Fana Fillah

    Untuk memahami hubung kaitan antara Alam Kabir dan Alam Saghir, Daerah Imkan dan Lautan Kekuasaan Bahrul Qudrah, perhatikan kepada Rajah 2 yang berikut:



Rajah 2

2 comments:

Anaqib said...

Apa itu .... Laut ilmu kalam zat tuhan

pencari_cinta_Ilahi said...

Alhamdulillah

Post a Comment