Wednesday, October 26, 2011

6. Latifah Nafs

    KEDUDUKANNYA ialah pada otak dan titiknya ada di bahagian dahi di antara dua kening. Takluknya adalah dengan Alam Khalaq yakni alam ciptaan yang berada di bawah ‘Arash. Ia adalah tempat penzahiran ‘Aqal manusia yang bersifat halus pada otak yang berada di dalam tempurung kepala. 

    Perkataan Nafs lazimnya merujuk kepada diri seseorang atau jiwa pada tahap yang rendah atau keakuan diri seseorang. Sifat semulajadinya terdiri dari sifat-sifat kemanusiawian dan kehaiwanan. Perkataan Nafs juga merujuk kepada perkataan Nafas yang bererti pernafasan dan perkara ini merupakan suatu intipati dalam perkerjaan zikir kerana ia merupakan sumber tenaga dan menjadi asas sebilangan besar Tariqat

    Sebilangan Para Sufi berpendapat perkataan Nafs ini merujuk kepada peringkat kejiwaan yang merangkumi seluruh minda, emosi dan keinginan dalam diri seseorang. 

Menurut Hadhrat Syeikh Shahabuddin As-Suhrawardi Rahmatullah‘alaih, Nafs ada dua pengertian:

1. Nafs Syaik - Iaitu zat dan hakikat bagi sesuatu benda.

2. Nafs Natiqah - Suatu kehalusan dalam Ruhaniah manusia yang disebut Jiwa dan ianya bercahaya serta dikurniakan sifat keakuan. Dengan cahayanya tubuh badan menjadi tempat yang terdedah kepada berbagai jenis kejahatan dan kebaikan.

    Mengenali Nafs dengan segala sifatnya adalah sukar kerana ia bersifat seperti seekor sumpah-sumpah yang boleh bertukar rupa pada sebilangan keadaan dengan warna yang berbeza. 

    Mencapai Ma’rifat tentang Nafs dengan segenap ilmu pengetahuan mengenai sekelian sifatnya adalah di luar kemampuan sebarang makhluk. Adalah sukar untuk mencapai Ma’rifat tentang Nafs sepertimana sukarnya mencapai Ma’rifat tentang Tuhan. 

    Nafs diciptakan dengan unsur keakuan diri dan ia mudah dipengaruhi Syaitan kerana adanya persamaan sifat angkuh dan bongkak dalam diri Syaitan dengan sifat keakuan yang ada pada Nafs. Tujuan Syaitan menghasut Nafs melakukan kejahatan adalah untuk mengotorkan Qalb kerana apabila Nafs seseorang itu dikotori, Qalbnya juga akan turut dikotori. Hubungan Nafs dengan Qalb adalah dengan kelajuan cahaya dan kedua-duanya ibarat cermin yang memantulkan cahaya masing-masing antara satu sama lain. 

    Latifah Nafs adalah tempat perjalanan Ruhaniah melalui tingkatan nafsu-nafsu. Ada sebilangan Masyaikh yang meletakkan tiga tingkatan nafsu iaitu Nafsu Ammarah, Lawwamah dan Mutmainnah. Ada sebilangan Masyaikh yang meletakkan lima tingkatan nafsu iaitu Nafsu Ammarah, Lawwamah, Mutmainnah, Radhiyah dan Mardhiyah. Ada juga Para Masyaikh yang menetapkan tujuh tingkatan nafsu iaitu Nafsu Ammarah, Lawwamah, Mulhammah, Mutmainnah, Radhiyah, Mardhiyah dan Kamiliyah. Penyucian Latifah Nafs ini dinamakan sebagai Tazkiyatun Nafs di mana Para Masyaikh meletakkan berbagai ujian bagi menguji tahap nafsu Para Murid. Ujian-ujian tersebut berupa Mujahadah Nafs bagi menundukkan kakuan diri dan keinginan hawa nafsu. Sebagaimana yang dinyatakan bahawa terdapat tujuh tingkatan Nafs yang perlu dilalui oleh setiap Salik seperti berikut:

1. Nafsu Ammarah - Pada tingkatan ini keakuan seseorang itu berada pada tahap kehaiwanan iaitu pada kedudukan yang rendah, tidak mengenali hakikat diri dan tidak mengenal hakikat Tuhan, boleh menjadi lebih buas dari binatang dan sentiasa mengingkari perintahperintah Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Tahap nafsu ini berada pada tingkatan yang rendah dan perlu disucikan dengan Taubat dan Istighfar untuk menuju pada tingkatan yang lebih tinggi supaya dimuliakan oleh para Malaikat. Apabila nafsu Ammarah ini dapat dikuasai sepenuhnya, peribadi manusia itu akan menjadi lebih baik dari Para Malaikat setelah dia menjalani latihan penyucian diri di bawah asuhan seorang Murshid yang sempurna. Nafsu Ammarah sentiasa mengajak diri mengingkari Allah dan Rasul, menurut ajakan Syaitan, bergelumang dengan dosa-dosa besar dan maksiat, bertabiat dan bertingkah laku buruk, bernafsu seperti haiwan yang buas. Sentiasa memuaskan kehendak hawa nafsu dan bersikap mementingkan diri sendiri.

2. Nafsu Lawammah - Pada tingkatan ini keakuan seseorang itu berada pada tahap mula menyedari keingkaran dan sifat buruk yang ada pada dirinya dan berasa menyesal apabila melakukan perbuatan yang buruk dan tidak baik. Dia mula untuk berasa bersalah kerana menurut keakuan dirinya semata-mata dan lebih mementingkan diri sendiri. Dia akan melakukan Taubat dan Istighfar tetapi akan kembali kepada perlakuan dosa dan maksiat kepada Allah dan Rasul. Kesedarannya baru terbit tetapi tidak kukuh. Dia perlu menjalani
latihan untuk menerbitkan rasa kesedaran dan insaf pada setiap masa serta menyerahkan dirinya kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana jika tidak, dia akan kembali terjerumus ke dalam kancah keburukan.

3. Nafsu Mulhammah - Pada tingkatan ini keakuan seseorang itu berada pada tahap yang lebih kerap menyesali dirinya kerana mengingkari hukum dan perintah Allah dan Rasul, kesedaran untuk insaf semakin bertambah tetapi masih belum mampu meninggalkan perbuatan dosa dan maksiat. Dia belum menyerahkan dirinya bulat-bulat kepada Allah kerana keakuan dirinya belum Fana atau dimatikan. Walaubagaimanapun keinginan untuk kembali sepenuhnya kepada Allah terasa amat dekat. Dia akan diilhamkan dengan amalan kebaikan yang dapat mendekatan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Dengan latihan keruhanian dan asuhan Murshid dia akan berjaya mematikan keakuannya. Kerana itu amat penting bagi Murid untuk mendapat bimbingan Murshid kerana seseorang itu tidak akan mampu mencapai penyucian Nafsu Mulhammah ini dengan bersendirian melainkan melalui seorang Murshid secara zahir dan batin. Dia perlu berzikir dengan kalimah Ismu Zat iaitu Allah Allah sebanyak-banyaknya di dalam hati sehingga terbit ketenangan.

4. Nafsu Mutmainnah - Pada tingkatan ini keakuan seseorang itu berjaya mencapai Fana. Dia berjaya mematikan keakuan dirinya dan menyerahkan dirinya kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Apabila keakuan dimatikan maka akan lahirlah Bayi Maknawi dari diri insan. Insan bersifat pelupa dan apabila keakuan insan itu dimatikan maka akan lahirlah daripada dirinya, dirinya yang sebenar yang diertikan oleh Hadhrat Syeikh Abdul Qadir Jailani sebagai Tiflul Ma’ani. Pada tahap ini keimanan seseorang itu menjadi semakin teguh dan kukuh. Dia perlu mendawamkan zikir kalimah Ismu Zat pada setiap latifah sehingga sempurna Sepuluh Lataif dan kekal dalam Syuhud. Ruhnya berjaya mencapai ketenangan pada Nafsu Mutmainnah dengan berkat limpahan dan asuhan Murshid.

5. Nafsu Radhiyah - Pada tingkatan ini keakuan seseorang itu telah diserahkan sepenuhnya kepada Allah dan dia redha dengan apa jua yang datang dari Allah. Tidak mementingkan apa yang telah berlaku dan apa yang akan berlaku. Dia menumpukan kesedarannya pada Kehadiran Zat Yang Suci pada setiap masa. Dia hanya menjadikan Allah sebagai maksud dan sentiasa menuntut keredhaan Allah. Dia sentiasa merasakan dirinya lemah di hadapan Allah dan sentiasa bergantung penuh kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Dia mengetepikan segala kepentingan Dunia dan Akhirat demi Allah Ta’ala semata-mata.

6. Nafsu Mardhiyah - Pada tingkatan ini keakuan seseorang itu telah tenggelam dalam lautan Syuhud. Dia menyaksikan Kebesaran Allah dengan cahaya Musyahadah dan mencapai ‘Irfan. Dia berenang di lautan Makrifat mengenali hakikat diri dan hakikat Tuhannya. Ruhnya telah aman damai di sisi Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan jiwanya menjadi lembut terhadap sesama makhluk dan zahirlah akhlak yang baik serta mulia dari dirinya.

7. Nafsu Kamiliyah - Pada tingkatan ini keakuan diri seseorang itu telah mencapai penyucian yang sempurna dan berjaya menjadi insan yang sempurna dengan menuruti segala Sunnah Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang mana merupakan insan yang paling sempurna. Zahir mereka bersama manusia di dalam khalayak ramai dan menghadiri majlis mereka namun batin mereka sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga memerhatikan limpahan faidhz dari Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Zikir mereka pada tingkatan ini adalah sentiasa bermuraqabah. Penyerahan mereka sempurna dan Allah menzahirkan Tanda-Tanda KekuasaanNya menerusi hamba tersebut. Dia menyerah kepada segala ketentuan Taqdir dan melaksanakan kewajibannya sebagai hamba dengan sebaik-baiknya. Ini merupakan tingkatan Para Nabi dan Rasul ‘Alaihimussolatu Wassalam dan inilah merupakan tingkatan Para Sahabat Ridhwanullah ‘Alaihim Ajma’in dan tingkatan sekelian Wali Qutub.

Hadhrat Syeikh Shahabuddin As-Suhrawardi Rahmatullah ‘alaih telah menyatakan bahawa terdapat sepuluh sifat buruk yang ada pada Nafs dan ianya adalah berasal dari unsur-unsur seperti panas, sejuk, lembab dan kering seperti berikut:

1. Hawa
2. Nifaq
3. Riya
4. Mengaku Tuhan
5. Bangga Diri
6. Tamak
7. Haloba
8. Banyak Ketawa
9. Malas
10. Lalai

Dari sepuluh sifat yang buruk ini terbit berbagai lagi sifat-sifat yang buruk seperti hasad dengki, iri hati, bersangka buruk, putus asa dan sebagainya. 

    Ada sebilangan Masyaikh yang menganggap Nafs dan Qalb adalah sama kerana pada penghujungnya mereka mendapati Nafs Mutmainnah adalah jiwa yang tenang serta menganggap jiwa letaknya pada hati. Mereka menganggap tiada perbezaan antara kedua-duanya.

    Sebenarnya Qalb dan Nafs adalah dua perkara yang berbeza tetapi memiliki tanggungjawab yang sama iaitu untuk disucikan dari segala sesuatu selain Allah dan menumpukan ingatan terhadapNya serta menggunakan kemampuan Qalb dan Nafs untuk Ma’rifat Allah Ta’ala dan seterusnya sentiasa menghadapkannya kepada Wajah Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Kedua-duanya merupakan dua pusat perhentian utama yang mewakili Alam Amar dan Alam Khalaq. Qalb adalah pusat perhentian bagi Alam Amar dan Nafs adalah pusat perhentian bagi Alam Khalaq. 

     Seseorang Salik yang telah sempurna menempuh Alam Amar bermakna dia telah berjaya menempuh Daerah Wilayah Sughra yakni daerah kewalian kecil dan merupakan Alam Bayangan Sifat Allah Subhanahu Wa Ta’ala

     Menurut Hadhrat Imam Rabbani Mujaddid Alf Tsani Syeikh Ahmad Faruqi Sirhindi Rahmatullah ‘alaih, apabila seseorang Salik telah sempurna menempuh Daerah Wilayah Sughra maka bermulalah Fana yang sebenarnya dan Salik akan terus menuju kepada Daerah Wilayah Kubra yakni daerah kewalian yang besar. 

    Daerah Wilayah Kubra ini berada dalam Bayangan Hadhrat Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam iaitu dalam menuruti Sunnah Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Ianya merupakan daerah kewalian Para Nabi dan terdapat tiga setengah daerah di dalamnya iaitu Daerah Ula, Daerah Tsaniah, Daerah Tsalisah dan setengah Daerah Qaus

    Setelah Salik sempurna menjelajah daerah-daerah ini pada Latifah Nafsnya dia akan meneruskan perjalanan Ruhaniahnya merentasi Daerah ‘Ulya iaitu daerah Para Malaikat yang tinggi kedudukannya di sisi Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Seterusnya Salik hendaklah menyucikan Latifah Qalibiyahnya iaitu anasir yang empat terdiri dari Tanah, Air, Api dan Angin. Pada tingkatan ini seseorang Salik tidak lagi memerlukan sebarang asbab luaran untuk mencapai KehadiranZat Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

2 comments:

Al Farisi said...

Sungguh hebat tingkatn nafs.. Kalau lah sy mempunyai mursyid, sudh lama sy mempelajari tarekat ini..

nizam omar said...

Terima Kasih atas kunjungan, Insya-Allah dipermudahkan urusan Tuan

Post a Comment