KETAHUILAH bahawa di sisi Hadhrat Imam Rabbani Mujaddid Alf Tsani Syeikh Ahmad Faruqi Sirhindi Rahmatullah ‘alaih dan sekelian para pengikutnya telah tsabit bahawa pada setiap insan terhimpun Sepuluh Latifah.
Begitulah juga seperti yang telah dikatakan oleh Guruku Hadhrat Khwajah Khawajahgan Maulana Khan Muhammad Sahib Mudda Zilluhul ‘Ali kepadaku bahawa lima Latifah adalah dari Alam Amar dan lima Latifah lagi adalah dari Alam Khalaq.
Alam Amar dan Alam Khalaq adalah alam yang berada dalam lingkungan Daerah Imkan. Lima Latifah Alam Amar itu adalah:
- Qalb
- Ruh
- Sirr
- Khafi
- Akhfa
Lima Latifah Alam Khalaq itu adalah:
- Nafs
- Angin
- Api
- Air
- Tanah
Ruhaniah setiap insan telah diciptakan dengan Bayangan Sifat-Sifat Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan ianya berasal dari Alam Amar. Santapan Ruhaniah adalah cahaya Nur Allah yang dapat diperolehi dari Alam Amar menerusi Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang mana kedudukannya di Alam Keruhanian adalah seumpama Matahari di dalam sistem cakrawala.
Ada dinyatakan di dalam Al-Quran bahawa Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam diibaratkan sebagai cahaya yang terang dan sesungguhnya Allah Subhanahu Wa Ta’ala telah menjadikan Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam sebagai suatu sumber keberkatan yang sempurna lagi terpilih. Kesemua Para Nabi dan Rasul menerima limpahan keberkatan dari Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.
Sewaktu Allah Subhanahu Wa Ta’ala menciptakan rupa bentuk jasmani bagi insan, dikurniakannya juga lima Lataif Alam Amar di beberapa kedudukan pada badan manusia dan mengurniakannya takluk keasyikan.
Adapun bagi Alam Amar, kedudukan Latifah Qalb itu terletak pada tetek kiri pada anggaran dua jari di bawah puting dan cenderung sedikit ke arah ketiak. Kedudukan Latifah Ruh adalah di bawah tetek kanan pada anggaran dua jari di bawah puting. Kedudukan Latifah Sirr adalah pada tetek kiri pada anggaran dua jari ke arah dada. Kedudukan Latifah Khafi adalah pada tetek kanan pada anggaran dua jari ke arah dada dan kedudukan Latifah Akhfa adalah pada tengahtengah dada. Allah Subhanahu Wa Ta’ala mengurniakan takluk keasyikan pada Lataif Alam Amar ini di tubuh badan manusia.
Takluk Alam Amar ini akan mencapai peningkatan Ruhani setelah disucikan sehinggalah kita dapat mengenali diri kita dan asal usul kita yang merupakan cahaya Nur yang tersembunyi dalam tubuh jasmani yang gelap dan zulmat ini.
Adapun bagi Alam Khalaq, kedudukan Latifah Nafs itu adalah di antara kedua-dua kening yang mewakili otak dan akal manusia. Ia juga merujuk kepada nafsu seseorang. Seterusnya adalah Latifah Qalibiyah yang terdiri dari empat anasir iaitu Tanah, Air, Api dan Angin. Ia ada pada seluruh bahagian tubuh badan jasmani manusia. Sepertimana Alam Amar, Alam Khalaq juga perlu disucikan kerana dengan menyucikannya akan membawa seseorang itu kepada peningkatan Ruhaniah, pengenalan diri dan asal-usul hakikat kejadian diri.
Ruhaniah Para Masyaikh adalah suci dan sentiasa hidup di sisi Allah sepertimana hidupnya Para Syuhada di sisi Allah kerana mereka kesemuanya berjuang di Jalan Allah demi menegakkan Kalimah Allah setinggi-tingginya. Mereka adalah orang yang berjaya mencapai hakikat kehidupan yang kekal di sisi Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
0 comments:
Post a Comment