TITIK kedudukannya pada tubuh badan adalah pada anggaran dua jari di bawah tetek kanan. Latifah Ruh juga disebut sebagai Latifah Ibrahimi adalah bertakluk dengan Alam Jabarut yakni Alam Para Ruh atau dikenali juga sebagai Alam Arwah.
Sepertimana Latifah Qalb, Latifah Ruh ini juga merupakan suatu pusat perhentian di Alam Amar. Sifat yang dikurniakan dengan Latifah Ruh ialah melihat dan ianya juga merupakan Tajalli dari Sifat Allah Al-Basir Yang Maha Melihat dan As- Syahid Yang Maha Menyaksi. Melihat dan menyaksikan adalah sifat-sifat yang Allah Ta’ala kurniakan kepada Ruh ketika berada di Alam Amar.
Seluruh Para Ruh bersaksi bahawa Allah Ta’ala adalah Rabb, Tuhan Yang Maha Pemelihara. Melihat, memerhati dan menyaksi adalah suatu sifat utama bagi Ruh. Sifat ini ada pada diri zahir iaitu melihat dengan kedua biji mata zahir dan sifat ini juga ada pada diri batin iaitu menerusi pandangan mata hati iaitu Basirah.
Seseorang Salik perlu melihat tanda-tanda kebesaran Allah Ta’ala dan memerhatikan perjalanan Tariqatnya agar sentiasa selari dengan petunjuk Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, banyak mengucapkan Selawat dan membaca Al-Quran.
Alam Jabarut adalah wilayah Hadhrat Nabi Ibrahim dan Hadhrat Nabi Nuh ‘Alaihimassalam. Latifah Ruh merupakan tingkatan langit kedua di atas ‘Arash. Cahaya Nur dan limpahan keberkatan dari Hadhrat Nabi Ibrahim dan Hadhrat Nabi Nuh ‘Alaihimassalam terlimpah pada Latifah Ruh Hadhrat Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.
Cahayanya adalah dari langit yang kedua dan warnanya adalah kemerahan. Seseorang Salik yang telah sempurna penyucian Latifah Ruhnya akan terhasillah Kashful Qubur yakni terbukanya pandangan ghaib tentang alam kehidupan sesudah mati di dalam kubur. Dia juga akan dapat berhubungan dengan Ruh-Ruh Para Masyaikh yang telah meninggal dunia dan mengambil limpahan keruhanian dari mereka dengan menziarahi maqam-maqam yang menjadi tempat pengkebumian mereka.
0 comments:
Post a Comment