Sunday, August 14, 2011

Lataif

     LATAIF adalah kata jamak bagi Latifah yang bererti kehalusan. Allah adalah bersifat Al-Latif iaitu Yang Maha Halus dan Dia telah mengurniakan KehalusanNya kepada sekelian Nur Muhammadiyah. Allah Subhanahu Wa Ta’ala menjadikan manusia dengan mengurniakannya sepuluh Lataif yang halus. Ianya boleh disifatkan sebagai anggota dalaman Ruhani bagi manusia atau pancaindera bagi Ruhani. Ianya diibaratkan sebagai juzuk-juzuk bagi diri Ruhani sepertimana otak, jantung, limpa, hati, paru-paru dan anggota dalaman bagi jasad tubuh badan Jasmani

     Konsep seperti ini juga terdapat dalam sistem kepercayaan sesetengah kaum seperti
Hindu dan China namun dalam perkembangan Tasawwuf Islam, segala ilmu pengetahuan adalah bersumberkan dari Al-Quran dan As-Sunnah, manakala penghasilan Ma’rifat mereka adalah menerusi Muraqabah dan Musyahadah. Seterusnya Para Masyaikh memperkembangkan ilmu tersebut menerusi pengamatan mereka yang dalam serta tahap Keruhanian yang tinggi. 

     Mungkin ada yang mendakwa mereka mengambilnya dari falsafah Yunani ataupun Hindu atau China namun tiada bukti yang jelas tentang tersebut cuma dakwaan yang meleset. Para Masyaikh Naqshbandiyah memperolehi pengetahuan tentang Lataif adalah menerusi pengkajian mereka yang mendalam terhadap Al- Quran dan Al-Hadits serta As-Sunnah dan mengamalkan Syari’at dengan teguh dan mewarisi ilmu pengetahuan dari Guru-Guru mereka dengan pertalian yang kukuh menerusi Silsilah yang benar

     Perkembangan Tariqat dalam diri seseorang itu secara umumnya melibatkan kesedaran dalam turutan yang tertentu pada latifah-latifah yang menjadi pusat perhentian dalam pemerhatian perjalanan Ruhani dan ianya terdapat dalam diri setiap manusia, amnya bagi sekelian Ummat Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam

     Setiap Latifah itu dikaitkan dengan Nabi- Nabi yang tertentu atau warna-warna yang tertentu atau anggota tubuh badan yang tertentu atau alam-alam yang tertentu atau Ma’rifat-Ma’rifat yang tertentu dan ianya berbeza di antara satu Tariqat dengan Tariqat yang lain. Perbezaan ini menunjukkan betapa luasnya Ilmu Allah Subhanahu Wa Ta’ala

     Tugas Para Masyaikh adalah untuk menghidupkan kesemua latifah-latifah tersebut pada diri Murid agar latifah-latifahnya dapat sentiasa berzikir Kehadhrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Menghidupkan kesemua latifah-latifah ini dengan Zikirullah adalah merupakan kegiatan sekelian Para Sufi. Setelah melalui proses ini, seseorang Salik itu dikatakan sebagai telah
mencapai tingkat kesempurnaan Insan dan menjadi manusia yang sempurna. Seseorang yang menjalani Tariqat Tasawwuf adalah wajib menyucikan kesemua Lataifnya dengan ilmu dan zikir kerana kesemua latifah adalah bersifat Nur dan sesuatu yang bersifat Nur hanya boleh disucikan dengan sesuatu yang bersifat Nur juga. 

     Ilmu Syari’at, Ilmu Tariqat, Ilmu Ma’rifat dan Ilmu Haqiqat juga adalah bersifat Nur kerana ianya bersumberkan dari Al-Quran dan As-Sunnah dan kedua-duanya bersifat Nur. Zikir juga akan menghasilkan Nur, jesteru gabungan ilmu dan zikir dalam diri seseorang itulah yang akan menyucikan dan menghidupkan kesemua Lataif dalam dirinya. 

     Para Masyaikh dari Silsilah yang bebeza telah menyelami Lautan Ilmu Kekuasaan Allah di dalam Bahrul Qudrah dan telah meneroka tentang rahsia Lataif ini. Meskipun pengetahuan mereka tentang Lataif adalah berbeza namun ianya merujuk kepada maksud yang satu iaitu kembali kepada Hadhrat Zat Allah Subhanahu Wa Ta’ala

     Guruku yang mulia Hadhrat Khwajah Khwajahgan Qutub Dauran Maulana Khan Muhammad Sahib Mudda Zilluhul ‘Ali telah mengurniakanku dengan kesemua Sepuluh Latifah dan beliau menyatakan kepadaku bahawa lima dari Latifah tersebut adalah dari Alam Amar manakala lima Latifah lagi adalah dari Alam Khalaq. Alam Amar dan Alam Khalaq adalah alam yang berada dalam lingkungan Daerah Imkan

     Untuk memahami Tariqat Naqshbandiyah Mujaddidiyah ini, amat penting untuk kita memahami tentang Sepuluh Latifah Insan. Semoga Allah memberikan kita Taufiq dan Hidayah.

1 comments:

Blogg SMAN 1 KULISUSU UTARA said...

assalamu alaikum...semoga Allah senantiasa mencurahkan hidayah Nya kepada kita sekalian amin...mohon bantuan nya aku hamba Allah hendak minta tolong kalau ada buku Sinar keemasan karya Syeh H.Jalaluddin mohon kalau dapat saya ingin beli...tolong informasinya...wassalam...

Post a Comment